Konsep Amal Soleh

6
Konsep Amal Soleh

Dalam ayat-ayat al-Quran, frasa kata amal soleh selalunya digandingkan dengan balasan syurga. Hal ini boleh dilihat dari banyak ayat al-Quran, antaranya,  
‘Dan orang-orang yang beriman serta beramal soleh, mereka itu penghuni syurga, mereka kekal di dalamnya’. (al-Baqarah, 2: 82)
‘Orang-orang yang beriman dan mengerjakan amalan soleh, kelak akan Kami masukkan ke dalam syurga yang mengalir sungai-sungai di dalamnya, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya’(an-Nisa’, : 122)
‘Barangsiapa yang mengerjakan amal-amal soleh, baik laki-laki maupun wanita sedang ia orang yang beriman, maka mereka itu masuk ke dalam syurga dan mereka tidak dianiaya walau sedikitpun’. (an-Nisa, : 124)
‘Sesungguhnya orang-orang mukmin, orang-orang Yahudi, Sobiin dan orang-orang Nasrani, siapa sahaja (antara mereka) yang benar-benar soleh, maka tidak ada kekuatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati’. (al-Maedah, : 69)
‘Bagi mereka (disediakan) darussalam (syurga) pada sisi Tuhan-nya dan Dia-lah pelindung mereka disebabkan amal-amal soleh yang selalu mereka kerjakan’. (al-Anam, : 127)
Inilah antara 119 ayat-ayat tentang amal soleh yang saya perolehi dari pencarian saya. Selain daripada yang di atas ini ialah, ayat 42 surah al-Araf, ayat 9 surah Yunus, ayat 11 surah Hud, dan sehingga ke bahagian hujung naskah al-Quran, seperti ayat 11 al-Buruj, ayat 11 at-Talaq, ayat 9 at-Taghabun.
Kesimpulan daripada ayat-ayat di atas ini ialah bahawa orang-orang yang beramal soleh akan diberi balasan syurga selagi tidak mensyirikkan Allah (hal ini disebut oleh kebanyakan ayat, sebagai contoh misalnya disebut Sesungguhnya orang-orang yang beriman dalam ayat 277 al-Baqarah, sedang ia orang yang beriman dan Orang-orang yang beriman dalam ayat 122 dan 124 an-Nisa’).
Apakah yang dimaksudkan dengan amal soleh itu, adakah amalan-amalan yang hablum minallah seperti sembahyang dan lain-lain sahaja! Ayat-ayat berikut ini memberikan gambarannya.
‘Dan barangsiapa yang mentaati Allah dan Rasul(Nya), mereka itu akan bersama-sama dengan orang-orang yang dianugerahi nikmat oleh Allah, iaitu Nabi-nabi, para siddiqin, orang-orang yang mati syahid, dan orang-orang soleh. Dan mereka itulah teman yang sebaik-baiknya’. (an-Nisa, : 69)
‘Sesungguhnya orang-orang yang beriman, mengerajakan amal soleh, mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat, mereka mendapat pahala di sisi Tuhan-nya. Tidak ada kekuatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati’. (al-Baqarah, 2: 277)
‘Mereka beriman kepada Allah dan hari penghabisan, mereka menyuruh kepada yang makruf, dan mencegah dari yang mungkar dan bersegera kepada (mengerjakan) pelbagai kebajikan; mereka itu termasuk orang-orang yang soleh’. (al-Imran, :114)
‘Sebab itu maka wanita yang soleh, ialah yang taat kepada Allah lagi memelihara diri ketika suaminya tidak ada,…’. (an-Nisa, :34)
‘Dan antara mereka ada orang yang telah berikrar kepada Allah, ‘Sesungguhnya jika Allah memberikan sebahagian kurnia-Nya kepada kami, pastilah kami akan bersedekah dan pastilah kami termasuk orang-orang yang soleh’. (at-Taubah, : 75)
‘Yang demikian itu ialah kerana mereka tidak ditimpa kehausan, kepayahan dan kelaparan pada jalan Allah, dan tidak (pula) menginjak suatu tempat yang membangkitkan amarah orang-orang kafir, dan tidak menimpakan sesuatu bencana kepada musuh, melainkan dituliskanlah bagi mereka dengan yang demikian itu suatu amal soleh. Sesungguhnya Allah tidak menyia-nyiakan pahala orang-orang yang berbuat baik,… (At-Taubah, : 120) (bersambung dengan ayat berikutnya)dan mereka tidak menafkahkan suatu nafkah yang kecil dan tidak (pula) yang besar dan tidak melintasi suatu lembah, melainkan dituliskan bagi mereka (amal soleh pula) kerana Allah akan memberi balasan kepada mereka yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan’. (at-Taubah, : 122)
‘kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran’. (al-Asr, : 3)
Gambaran-gambaran menunjukkan bahawa amal soleh itu tidak terbatas kepada amalan-amalan yang hablum minallah sahaja seperri sembahyang, zakat dan lain-lain, hal ini disebut oleh ayat 277 surah al-Baqarah di atas tadi yang menyebut mengerajakan amal soleh, mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan ayat 114 al-Imran yang menyebut mereka menyuruh kepada yang makruf, dan mencegah dari yang mungkar dan bersegera kepada (mengerjakan) pelbagai kebajikan.
Ayat 277 surah al-Baqarah itu dengan jelas terasing antara frasa kata mengerajakan amal soleh dengan amalan mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat yang menunjukkan bahawa amal soleh bukanlah amalan-amalan sembahyang dan menunaikan zakat sahaja tetapi sesuatu yang lain.
Dalam ayat 114 al-Imran pula menyebut dengan jelas bahawa amal soleh itu ialah amalan-amalan menyuruh kepada yang makruf, dan mencegah dari yang mungkar dan bersegera kepada (mengerjakan) pelbagai kebajikan.
Kesimpulannya bolehlah disebut bahawa amal soleh itu ialah amalan-amalan yang mencakupi bidang hablum minallah seperti sembahyang, zakat dan sebagainya serta rangkaian-rangkaiannya, dan bidang hablum minannas seperti menyeru kepada yang makruf, mencegah dari yang mungkar dan membuat kebajikan.
Siapakah dia orang-orang yang soleh itu, yang boleh kita jadikan ikutan; hal ini saya timbulkan kerana mereka ini adalah sosok dan tokoh yang harus kita rapati seperti yang disebut oleh ayat 69 an-Nisa yang menyebut, Dan mereka itulah teman yang sebaik-baiknya’.
Dalam surah al-Fatihah yang kita baca setiap kali mendiri-kan sembahyang, terdapat ayat yang menyebut, jalan orang-orang yang telah mendapat nikmat (syurga) (ayat 7). Dalam tafsiran ayat ini mereka itu ialah seperti yang disebut oleh ayat 69 surah an-Nisa’ di atas tadi yang menyebut, orang-orang yang dianugerahi nikmat oleh Allah, iaitu Nabi-nabi, para siddiqin, orang-orang yang mati syahid, dan orang-orang soleh, yang bermaksud para Nabi, para sahabat Nabi, orang-orang yang mati syahid dan orang-orang soleh.
Nabi Muhammad saw adalah antaranya yang sudah terjamin akan masuk syurga maka bolehlah dijadikan contoh ikutan jika mampu, jika tidak contohilah para sahabat. Namun bagaimanakah kita hendak mencontohinya lantaran baginda dan para sahabat telah tiada; itu sebabnya kita sering disarankan agar hidup mengikuti Sunnah baginda, untuk mengetahuinya kita harus membaca sirah baginda, ikuti amalan-amalan baginda, cara hidup baginda, cara baginda berkeluarga, cara baginda menangani masalah kemiskinan, dakwah baginda dan sebagainya; kesemuanya tercatat dalam bentuk hadis, jadikan amalan hidup seharian kita, itulah amal soleh yang sebaik-baiknya.
Untuk beramal soleh harus diingat iaitu mesti mencakupi kedua-dua bidang iaitu hablum minallah dan hablum minannas, kerana amalan Nabi saw juga adalah sedemikian juga, Nabi tidak membataskan amalannya kepada yang hablum minallah sahaja tetapi mencakupi semua perkara yang hablum minannas bagi merealisasikan moto kesejahteraan alam (ayat 107 surah al-Anbiya’) sekali gus. Misalnya, dalam revolusi Nabi saw, baginda memperjuangkan:
·        Baginda mengajar erti persamaan darjat antara sesama manusia,
·        Memperjuangkan hak wanita agar diberi kemuliaan yang sama dengan kaum lelaki,
·        Mewajibkan orag kaya mengeluarkan sebahagian daripada harta mereka untuk diberikan kepada orang miskin dan fakir,
·        Mengambil berat terhadap anak-anak yatim, janda, orang kurang upaya, orang yang lemah dan sebagainya,
·        Mengajar erti kasih sayang terhadap anak-anak saudara mara, jiran-jiran, serta tunduk dan patuh kepada ibu bapa,
·        Mengajar erti sifat pemaaf kepada orang-orang yang melakukan penganiayaan,
·        Tidak mencetuskan peperangan,
·        Bersikap baik terhadap haiwan, burung dan serangga, baginda melarang membunuhnya jika tidak perlu,
·        Mengajar erti menyayangi tumbuh-tumbuhan.
Inilah sebahagian daripada revolusi baginda, yang saya ambil dari muka surat 150-153 buku Ke Arah Haji Yang Mabrur, terbitan Telaga Biru Sdn. Bhd. Penjelasannya boleh dibaca dari buku berkenaan.
Justeru, untuk menjadi seorang yang bergelar solehin atau orang-orang soleh kita harus mencontohi perjuangan Nabi saw seperti contoh-contoh di atas; kita dapati revolusi baginda banyak yang berkait dengan hablum minannas.
Saya kira adalah mustahil untuk kita menjadi nabi, atau para sahabat baginda kerana zaman tersebut sudah berlalu. Jadi untuk bercita-cita masuk syurga mungkin boleh mengikuti jalan orang-orang yang mati syahid: dari blog yang saya temui menyebut antaranya jalannya ialah wafat pada malam jumaat, mati di medah peperangan fisabilillah, mati disebabkan penyakit kolera, mati kerana tenggelam, mati kerana nahas seperti ditimpa runtuhan tanah, mati kerana melahirkan anak, mati terbakar, mati kerana busung perut, tubercolosis (TB), mati kerana mem-pertahankan harta dari perompak, mati kerana mempertahan-kan agama dan jiwa, mati ketika mengerjakan amal soleh (khusnul khatimah). Persoalannya ialah apakah kita hendak mengambil pendekatan seperti itu, dapatkah kita, atau mahukah kita mengambil salah satu jalan yang tersebut di atas! Kecuali yang terakhir itu iaitu menjadi orang soleh, ini serasi dengan yang disebut oleh ayat 7 surah al-Fatihah.

Amal soleh

Dari ensiklopedia bebas Wikipedia tersebut bahawa amal soleh merupakan apa sahaja amal orang Islam yang meliputi gerak hati (termasuk akal), pengucapan lisan dan perlakuan anggota tubuh badan (termasuk pancaindera) mengikut syariat Islam. Dijelaskan bahawa amal itu dengan:
·         Niat yang ikhlas kerana Allah swt
·         Mengikut rukun, syarat dan cara yang betul,
·         Tidak dicampuri dengan perkara maksiat dan perkara-perkara yang membatalkannya atau merosakkannya.
Satu takrif lagi menyebut, perbuatan yang sungguh-sungguh dalam menjalan ibadah atau menunaikan kewajipan agama seperti perbuatan baik terhadap sesama manusia.
Dan satu lagi menyebut, Amal saleh diertikan sebuah proses yang baik shingga menghasilkan sesuatu yang baik. Memperbanyak amal soleh bererti banyak jalan/cara yang baik (halal) untuk memperoleh sesuatu yang baik. (dan seterusnya) kemudian dituliskan ciri-cirinya, iaitu,
·         Niat yang tulus
·         Ada manfaatnya
·         Prosesnya benar
Jika diteliti tafsiran-tafsiran di atas itu, terutama butiran yang disenaraikan, menunjukkan ciri-ciri amal soleh itu sudah terkandung dalam 5K yang telah kita bincangkan: seperti niat yang ikhlas (K1), cara yang betul, prosesnya benar (K3), tidak dicampuri dengan perkara maksiat, ada manfaatnya (K4). Jika demikian kedudukannya maka caranya untuk menjadi orang soleh ialah beribadah.
Dengan kata lain ialah bahawa orang yang soleh itu adalah orang-orang yang hidup dalam keadaan beribadah setiap saat, sepanjang masa, ini serasi dengan tujuan manusia diciptakan iaitu supaya mereka mengabdi kepada-Ku’ (ad-Zariyat: 56).
Seperti mana konsep ibadah, konsep amal soleh sering disalaherti – ianya dilihat sebagai amalan-amalan yang berkaitan dengan sembahyang, zakat, puasa dan haji sahaja, serta rangkaian-rangkaiannya.
Sebenarnya seperti mana ibadah, konsep amal soleh adalah mencakupi juga amalan-amalan dan aktiviti harian kita, sama ada yang termasuk dalam kategori hablum minallah mahu pun hamblum minannas.
Ramai yang beranggapan amal soleh itu adalah melakukan ibadat-ibadat yang terkandung dalam Rukun Islam itu iaitu sembahyang, puasa, zakat dan haji. Sesetengah pula meng-anggap amal soleh itu adalah perlakuan mengumpul pahala dari sudut hablumminallah sahaja. Jadi bagi golongan ini, mereka akan melakukan banyak ibadah seperti sembahyang dan puasa. Sembahyangnya akan dilakukan sebaik mungkin: tepat pada waktunya, tanpa berlengah-lengah, sentiasa ternanti-nanti ketibaan waktunya; masanya berada di tempat sembahyang, sama ada di rumah atau di masjid, kelihatan melebihi orang lain juga; jika merasa tidak cukup dengan menunaikan sembahyang lima waktu sahaja, ditambah pula dengan sembahyang-sembahyang sunat seperti sunat rawatib, sunat tahyatul-masjid, sembahyang witir, sembahyang hajat, sembahyang jenazah, sembahyang dhuha, sembahyang gerhana, dan lain-lain. Mana-kala ibadah puasanya pula ditambah dengan puasa enam dalam bulan syawal, puasa hari Isnin dan Khamis, puasa-puasa sempena awal Muharram, dan lain-lain lagi. Inilah konsep amal soleh bagi kebanyakan kita.
Akibatnya golongan ini jarang dilihat kelibatnya dalam aktiviti keduniaan, banyak aktiviti hablum-minannas terabai kerana menganggap itu bukan yang dimaksudkan amal soleh. Sehingga sebahagian besar aktiviti seperti itu, yang sebenarnya adalah suatu tanggungjawab bagi seseorang Islam, seperti yang tersebut dalam senarai revolusi Rasulullah saw, tetapi kurang dipedulikan. Inilah fenomena yang jelas ujud dalam masyarakat Islam. Islam itu dipandang seperti terlalu sempit, lebih terfokus kepada perkara-perkara yang berkaitan fardu ain sahaja, hal-hal hablum-minannas tidak begitu ketara, seolah-olah Islam adalah agama untuk keTuhanan semata-mata. Akibatnya, ramai umat Islam tidak mencerminkan peribadi Islam itu secara total.
Jika mendirikan zat sembahyang itu sahaja amal soleh, tentulah hamba Allah yang beramal selama 500 tahun seperti dalam riwayat yang disebutkan sebelum ini akan masuk syurga, tetapi mengapa permohonannya supaya dimasukkan ke syurga dengan sembahyangnya ditolak, dan sebuah hadis lagi menyebut sembahyang sahaja belum cukup. Jadi, ini menggambarkan bahawa amal soleh itu bukanlah amalan-amalan yang berkait dengan sembahyang, puasa, zakat dan haji sahaja.

Masuk syurga dengan rahmat Allah

Kunci masuk syurga ialah rahmat Allah, bukan pahala amalan-amalan kita. Sebuah hadis daripada Jabir, katanya, dia mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda,
‘Bukan amal seseorang yang memasukkannya ke syurga atau melepaskan dari neraka, termasuk juga aku, tetapi ialah semata-mata rahmat Allah s.w.t. belaka.’ (Terjemahan Hadis Shahih Muslim: 2414)
Sebuah hadis lain yang pernah disebut dalam satu ceramah agama di sebuah surau menyebut,
‘Sembahyang kita belum dapat menjamin masuk syurga kecuali setelah mendapat rahmat Allah.’
Kedua-dua hadis ini menunjukkan bahawa kunci pintu syurga ialah rahmat Allah, bukan amalan-amalan seperti sembahyang dan sebagainya.
Bagaimanakah cara untuk mendapat rahmat Allah s.w.t.?
‘Sesungguhnya rahmat Allah amat dekat kepada orang-orang yang berbuat baik.’ (al-Araf, 7: 56)
Manakala hadis Abu Daud dan at-Tarmizi pula menyebut,
‘Orang-orang yang penyayang maka Allah Taala akan menyayangi mereka (memberikan rahmat kepada mereka), sayangilah/kasihilah penduduk bumi, nescaya penduduk langit akan menyayangi kalian.’
Kedua-dua dalil ini dengan jelas menyebutkan antara amalan yang akan mendatangkan rahmat Allah swt ialah berbuat baik dan mengasihi penduduk bumi.
Sebenarnya banyak lagi ayat-ayat yang menunjukkan jalan bagi mendapat rahmat Allah, yang kebanyakannya ditujukan terus kepada kita, antaranya ialah,
‘Dan orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal-amal yang soleh, mereka itulah penghuni-penghuni syurga, mereka kekal di dalamnya.’ (al-Araf, 7: 42)
 ‘Dan sampaikanlah berita gembira kepada mereka yang beriman dan berbuat baik, bahawa bagi mereka disediakan syurga-syurga yang mengalir sungai-sungai di dalamnya.’ (al-Baqarah, 2: 25)
Ayat-ayat di atas ini tidak menyebutkan secara langsung tentang bagaimana caranya untuk mendapat rahmat Allah swt, namun dengan ayat itu tadi Allah membayangkan golongan-golongan yang akan mendapatnya, iaitu mereka yang berbuat baik, penyayang, dan beramal soleh. Jadi, inilah antara jalan-jalan untuk mendapat rahmat Allah swt.
Semua orang tahu apakah maksud berbuat baik, penya-yang, dan apakah yang hendak dilakukan untuk berbuat baik. Dari yang di atas tadi yang menariknya ialah bahawa amal soleh juga adalah satu jalan untuk mendapatkan rahmat Allah, dan amal soleh juga adalah jalan untuk mengabdikan diri kepada Allah, justeru sama ada kita hendak menjadi seorang yang entiasa beribadah, atau hendak menjadi seorang yang soleh, mahupun untuk mengharap rahmat Allah kesemuanya akan menuju ke jalan yang diredai Allah swt.
Antara jalan-jalan untuk mendapat rahmat Allah yang baru disebut tadi ialah berbuat baik, penyayang, tetapi mengapa pula Allah hanya mewajibkan kita menunaikan sembahyang, zakat, puasa dan haji. Persoalan ini ditimbulkan kerana seolah-olah dua perkara ini adalah berlainan – tidak ada perkaitan antara sembahyang dan yang lain-lain itu dengan berbuat baik dan penyayang.
Prof. Dr. Yusuf al-Qaradhawi menulis dalam bukunya,
‘Antara kefahaman terbaik kita terhadap ajaran agama Allah ialah apabila kita mengetahui tentang tujuan pemberian beban kewajipan yang mesti kita lakukan.’ (Terjemahan Fiqh Keutamaan, 48)
Kita maklum bahawa ibadah-ibadah yang diwajibkan kita menunaikannya ialah sembahyang, zakat, puasa dan haji, jadi frasa kata beban kewajipan yang mesti kita lakukan di sini, adalah merujuk kepada ibadah-ibadah tersebut.
Kita lihat petikan ini juga menarik perhatian kita bahawa kita harus mengetahui tentang tujuan-tujuannya, dan mereali-sasikannya. Dr. Yusuf menambah,
‘Semua orang sependapat bahawa hukum-hukum syariat secara menyeluruh memiliki alasan, dan juga terdapat tujuan tertentu yang ada di sebalik bentuk lahiriah hukum syariat yang harus dilaksanakan itu.’  (Terjemahan Fiqh Keutamaan, 47)
Dan lagi,
‘Allah yang Maha Bijaksana tidak akan membuat syariat agama tanpa tujuan, sebagaimana Dia tidak akan menciptakan sesuatu yang batil.’ (Terjemahan Fiqh Keutamaan, 48)
Kenyataan beliau ini bolehlah disimpulkan bahawa ibadah sembahyang dan yang lain-lain itu bukanlah setakat ibadah ritual semata-mata, yang kita tunaikan sebagai tanda keimanan, iaitu kerana Allah memerintahkan tetapi ada tujuan di sebaliknya yang Allah menghendaki kita mencapainya.
Perkara ini disebut juga oleh Prof. Dato’ Dr. Haron Din dalam bukunya menyebut,
Setelah kita mempunyai keimanan dan membentuk sikap-sikap hidup berdasarkan rukun-rukun keimanan tersebut, atau setelah kita mempunyai gambaran mengenai hidup berdasarkan rukun-rukun itu, apakah yang seharusnya kita lakukan selepas itu?’ (Manusia dan Islam, 93).
Dan lagi,
Iman itu tidaklah (cukup) dengan berangan-angan dan berkata-kata sahaja, akan tetapi mestilah dengan keyakinan yang bulat di hati dan diikuti dengan amalan-amalan yang sesuai dengan iman itu’. (Manusia dan Islam, xi)
Petikan-petikan ini menggambarkan bahawa ada lagi amalan-amalan yang mesti kita lakukan selepas menunaikan ibadah-ibadah yang terkandung dalam Rukun Islam itu, bagi menyempurnakan keimanan kita, itu sebabnya Dr. Yusuf yang mengatakan bahawa ada tujuan tertentu di sebalik bentuk lahiriah hukum syariat: pada lahirnya kita mendirikan sembah-yang, tetapi di sebalik sembahyang kita ada tujuannya. Situasi yang sama juga kita gunakan untuk ibadah-ibadah zakat, puasa dan haji.
Apakah tujuannya?
Satu ayat dalam al-Quran menyebut,
‘Dirikanlah sembahyang untuk mengingati-Ku.’ (Toha, 20: 14)
Antara lain lagi ialah seperti yang disebut oleh Prof. Dato’ Dr. Haron Din dalam bukunya,
‘Ibadat merupakan pelan induk yang mengikat antara hamba dengan Tuhan.’ (Manusia dan Islam, 113)
Ibadat di sini termasuklah ibadah sembahyang, dinyatakan bahawa sembahyang kita adalah bertujuan mengikat hamba dengan Tuhan. Di muka surat yang sama, beliau menyebut,
Ibadat adalah antara nilai Islam yang penting sekali kerana ia memainkan peranan yang berkesan untuk membina keperibadian dan memajukan masyarakat.’ (Manusia dan Islam, 113)
Satu ayat dalam al-Quran yang sering kita dengar menyebut, maksudnya,
‘Dirikanlah sembahyang. Sesungguhnya sembahyang mencegah (perbuatan) keji dan mungkar.’ (al-Ankabut, 29: 45)
Ayat-ayat ini menggambarkan bahawa sembahyang kita berkait dengan sesuatu yang di luar sesi sembahyang, seperti perbuatan keji dan kemungkaran, keperibadian dan kemasya-rakatan – bukankah kesemua yang tersebut ini berada di luar sesi sembahyang, ianya berlaku dalam aktivit seharian kita!
Demikianlah antara dalil-dalil yang menunjukkan bahawa hakikatnya ibadah sembahyang kita bukan sekadar mendirikan zatnya sahaja, tetapi ada tujuannya yang mesti dicapai, seperti untuk mengikat hamba dengan Tuhannya, membina keperi-badian dan memajukan masyarakat, menghindarkan diri kita dari perbuatan keji dan mungkar.
Kita juga sering mendengar ungkapan yang menyebut sembahyang adalah tiang agama, apakah yang dimaksudkan itu? Dari Muaz ra katanya Rasulullah saw pernah bersabda, yang maksudnya,
‘Pokok segala urusan adalah Islam, dan tiangnya adalah sembahyang, dan puncaknya adalah jihad.’ (Ensiklopedi Shalat 1, 171)
Hadis ini menggambarkan bahawa Islam adalah pokok segala urusan. Ini bermaksud bahawa segala urusan hidup, tiangnya adalah sembahyang. Bila disebut segala urusan hidup, bermaksud mencakupi segala bidang kehidupan termasuk aqidah, perundangan, politik, ekonomi, sosial, dan sebagainya, dan secara tidak langsung ini menggambarkan cara hidup atau way of life; manakala disebut tiangnya adalah sembahyang, meng-gambarkan bahawa sembahyang kita adalah asas kepada tertegaknya cara hidup Islam. Fakta ini menguatkan lagi tanggapan bahawa ibadah sembahyang kita bukan sekadar menegakkan zatnya sahaja, tetapi umpama satu proses ke arah menegakkan cara hidup Islam. Jadi, hakikatnya ibadah sembahyang kita itu ada tujuan atau matlamatnya.
Jadi pembentangan di atas ini bolehlah disimpulkan bahawa rahmat Allah akan sampai kepada orang-orang yang merealisasikan tujuan atau matlamat ibadah sembahyang itu. Jika kita semak semula pembentangan di atas ini kita boleh dapati bahawa tujuan sembahyang itu mencakupi bidang hablum minallah dan minannas.
Banyak lagi tujuan dan matlamat ibadah sembahyang kita yang boleh diperolehi, selain daripada yang disebut oleh ayat-ayat al-Quran atau hadis; ianya boleh dikenali daripada bacaan-bacaan, perlakuan-perlakuan, hukum-hakam dan etika dalam bab sembahyang kita, namun buku ini tidak berhajat untuk membentangkannya.
Kita sedang membincangkan tentang amal soleh yang boleh membawa rahmat Allah swt; jadi apa yang dibentangkan di atas ini tadi adalah antara jalan-jalannya yang boleh kita laku-kan sebagai amalan-amalan harian kita.
Misalnya, jika kita melihat ayat 2 bahawa Allah mentadbir sekalian alam, kita boleh mencontohinya dengan mengambul tahu tentang kebajikan dan kebersihan alam sekitar, dan ayat 3 yang menyebut sifat Allah yang ar-Rahman dan ar-Rahim, juga boleh kita jadikan sikap yang serupa terhadap orang lain dan makhluk keseluruhannya mengikut kemampuan yang kita ada.
Kita dianugerai dengan anggota badan dan tenaga, panca-indera yang lima dan akal yang mampu berfikir dan berikhtiar maka kita harus gunakan semampunya bagi melakukan sesuatu untuk faedah orang lain dan makhluk keseluruhannya; inilah antara jalannya untuk menjadi orang soleh.
Sesungguhnya rahmat Allah amat dekat kepada orang-orang yang berbuat baik.’ (al-Aaraf, 7: 56).
Rasanya sudah cukup dengan beberapa contoh seperti yang dibentangkan di atas ini untuk mencari yang lain-lain lagi, lalu kita jadikan amalan seharian yang berterusan, setiap saat dan sepanjang masa.
Sesungguhnya rahmat Allah amat dekat kepada orang-orang yang berbuat baik.’ (al-Aaraf, 7: 56).
Hadis Abu Daud dan at-Tarmizi pula menyebut, ‘Orang-orang yang penyayang, maka Allah Taala akan menyayangi mereka (memberikan rahmat kepada mereka), sayangilah/kasihilah penduduk bumi, nescaya penduduk langit akan menyayangi kalian.’
Menyerah kepada Allah serta mengharapkan rahmatNya tidak boleh berlaku, melainkan sesudah berbakti dan beramal soleh.’ (Syeikh Abu Said al-Kharraz)

 ‘Sesungguhnya mencita-citakan pengampunan itu telah memper-dayakan banyak orang, sehingga mereka meninggalkan dunia ini dalam muflis, tiada mempunyai bekalan amal soleh sekali.’ (Syeikh Abu Said al-Kharraz)

Ibadah dan amal soleh

Sama ada berbakti, berbuat baik dan menyayangi penduduk bumi, jika dilakukan dengan memenuhi 5K yang telah kita bincangkan itu bererti kesemua perlakuan itu adalah ibadah dalam ertikata yang menjurus kepada amal soleh, dan ganjaran-nya ialah rahmat Allah. Dengan kata lain sama ada hendak disebut amal soleh atau ibadah kedua-duanya menggunakan konsep 5K yang telah dibincangkan sebelum ini.
Untuk beramal soleh kita mesti ikhlas, niatnya mesti hanya kerana Allah, agendanya juga hanya yang diredai Allah iaitu mencakupi perkara-perkara-perkara yang hukumnya harus, sunat dan wajib sahaja, kaedah melakukannya tidak merosak-kan atau menjejaskan kepentingan dan kesejahteraan orang lain, dan natijahnya juga baik di sisi Allah swt, dan yang terakhir sekali ialah tidak meninggalkan perkara-perkara yang asas yang disebut sebagai fardu ain.
Sebuah hadis riwayat Muslim menyebut, yang maksudnya,
‘Amalan seseorang itu tidak akan memasukkannya ke syurga dan tidak menjauhkannya dari api neraka termasuk juga aku, melainkan dengan rahmat Allah’. (Ke Arah Haji Yang Mabrur, 156)
Amalan yang dimaksudkan di sini ialah sembahyang, zakat, puasa dan haji. Disebut dalam hadis ini bahawa amalan-amalan ini sahaja tidak dapat menjamin masuk syurga.

Apakah yang hendak dilakukan

Bagi orang-orang yang sudah terbiasa dengan konsep bahawa ibadah itu ialah sembahyang, zakat, puasa dan haji, serta sedekah, membantu orang dan sebagainya mungkin terasa sedikit sukar untuk beribadah mengikut konsep yang dijelaskan oleh buku ini. Yang paling jelas sekali ialah hendak mengubah gaya hidup dari yang lama kepada gaya hidup yang menepati konsep ibadah yang baru.
Gaya hidup yang lama adalah berdasarkan kepada konsep bahawa ibadah itu ialah sembahyang, zakat, puasa dan haji serta rangkaian-rangkaiannya, jadi pola hidup hariannya ialah beribadah hanya dengan mendirikan sembahyang serta rangkaian-rangkaiannya, dan masa selebihnya dilakukan dalam bentuk bukan beribadah: gerak hati (niat), percakapan dan perbuatannya adalah bukan ibadah.
Gaya hidup yang baru pula adalah berdasarkan kepada konsep ibadah yang bermaksud bahawa setiap gerak hati, percakapan dan perbuatan adalah ibadah, jadi pola hidup sehariannya melihat bahawa kesemua perkara yang hendak dilakukan adalah ibadah belaka.
Satu lagi masalahnya ialah hendak membiasakan diri dengan niat kerana Allah untuk setiap aktiviti yang hendak dilakukan.
Masalah yang paling besar hanya dihadapi oleh orang-orang yang tidak banyak mengetahui hukum-hakam yang hendak dijadikan sandaran kerana Allah.
Memang tidak boleh dinafikan bahawa masih ramai yang tidak mengetahui bahawa setiap perbuatan kita ini ada hukum-hakamnya. Misalnya kebersihan, ramai tidak menyedari adanya ayat al-Quran yang berkaitan seperti ayat 107 surah al-Anbiya, membunuh semut atau haiwan adalah dilarang kerana ada hadis yang menyebut demikian, dan sebagainya. Berapa ramaikah yang mengetahui perkara-perkara ini misalnya. Jadi di sinilah letaknya keperluan menuntut ilmu.
Sesetengah aspek kehidupan harian memang diakui umum adalah baik seperti membantu orang dalam kesusahan, memberi makan haiwan, menjaga keselamatan, etika pergaulan dan bermasyarakat, menghormati orang tua, menyayangi anak yatim, dan sebagainya, tetapi apakah ayat-ayat atau hadis yang berkaitan dengan perkara-perkara ini; di sinilah letaknya hukum wajib menuntut ilmu. Dengan ilmu kesemua perkara ini tidak menjadi masalah untuk menjadikan aktiviti harian kita ibadah.
Bagaimana pula halnya bagi aspek-aspek kehidupan yang dilarang, yang bermaksud bagaimana hendak mengetahui bahawa sesuatu percakapan itu dilarang atau tidak (yang dilarang di sini ialah perkara-perkara yang makruh), misalnya, bolehkah kita bergurau senda, usik mengusik, dan setakat manakah pula yang dibolehkan, misalnya dari segi etika boleh-kah kita bersembang dan ketawa berdekah-dekah di tempat umum seperti di restoran.
Batas-batas yang boleh atau tidak boleh hendaklah dilihat dari kriteria yang lima itu, dengan kata lain 5K yang telah kita bincangkan sebelum ini boleh dijadikan senarai semak sama ada sesuatu amalan itu boleh atau tidak.
Misalnya jika kita melihat dari sudut natijah sahaja sudah memadai untuk memberi kita keputusan: jika mendatangkan natijah yang tidak baik haruslah dijauhi: gurauan dan usik mengusik yang boleh menyebabkan berkecil hati apalagi jika kemarahan sudah pasti tidak dibenarkan. Dari sudut kaedah yang kita gunakan, jika boleh mendatangkan mudarat seperti kecederaan, kesakitan, memberi malu, atau menjatuhkan maruah maka harus dijauhi.
Kedua-dua nilai yang tersebut ini adalah nilai sejagat, yang dapat diterima oleh mana-mana tamadun dunia, malah jika hendak dilihat dari sudut pandangan agama sekalipun tidak ada mana-mana agama yang pandangannya bercanggah dengan nilai-nilai ini. Jadi, ketika hendak melakukan sesuatu, sama ada percakapan atau perbuatan jika ini dijadikan panduan akan menjuruskan kita menjadi orang baik-baik (beribadah).
Bagi orang Islam harus memenuhi kesemua 5K yang telah dibincangkan untuk menjadikan aktiviti harian ibadah, manakala bagi orang yang bukan Islam jika dipenuhi K2, K3 dan K4 ia merupakan ramuan yang baik untuk menjadi orang yang bermoral.
Semoga buku ini dapat memberikan kefahaman yang lebih baik tentang konsep ibadah, dan dengannya akan meletakkan diri kita dalam keadaan sentiasa beribadah dan menjadi orang yang soleh yang akan mendapat rahmat Allah
Sekian, segala yang baik itu datangnya dari Allah jua dan yang tidak baik adalah kelemahan saya sendiri.

Wallahu a’lam.

No comments:

Post a Comment