Tuesday, October 28, 2014

Amalan yang berpanjangan

Bisamillahhirrahmaanirrahim.
Assalamualaikum semua.
Diandaikan kita mati pada saat ini adakah kematian kita khusnul khatimah? Persoalan ini saya turunkan di sini kerana kematian yang khusnul khatimah adalah penting bagi sesetengah orang.
Bagi saya kematian dalam khusnul khatimah hanya dapat kita perolehi sekiranya kita sudah menyediakan sesuatu amalan yang berpanjangan. Menanam pokok buah dengan niat untuk makanan burung atau juga manusia, bukan untuk faedah sendiri, adalah antara amalan yang saya namakan sebagai amalan yang berpanjangan kerana selagi pokok buah itu masih hidup dan menghasilkan buah, dimakan oleh burung atau manusia itu tadi bererti kita mendapat ganjarannya.
Kita sering mendengar tentang seseorang mewakafkan tanah untuk pembinaan masjid, tanah perkuburan, sekolah agama dan sebagainya. Ini adalah antara usaha-usaha ke arah mencapai khusnul khatimah. Bagaimanapun tidak bererti hanya orang yang berharta sahaja yang berpeluang mendapatnya. Bagi golongan miskin juga ada jalan ke arah yang sama. Misalnya kita boleh sahaja memasukkan beberapa ekor ikan ke dalam kolam tinggal agar membiak dan diambil faedah oleh orang lain atau makhluk. Ini satu contoh.
Satu contoh lagi, jika kita berniat untuk membersihkan laman surau atau masjid setiap hari khamis petang, dan melakukannya, ini juga satu bentuk amalan yang berpanjangan kerana selepas satu khamis akan timbul lagi hari khamis yang mendatang. Jadi jarak waktu di antara keduanya itu niat kita tetap hadir, Allah swt Maha Mengetahuinya.
Bagi orang kaya peluangnya lebih luas. Saya cadangkan supaya kita mencari jalan membangunkan para peniaga kecil di tepi-tepi jalan, yang terangkak-rangkak mencari rezeki itu; atau membantu pengutip tin sebagai sumber rezeki hariannya itu supaya membangun.
Kata Dr. Yusuf al-Qaradawi, Kalau kaum Muslimin mahu memahami serta memiliki kefahaman yang sebenar, dan mengetahui makna kefahaman terhadap pekerjaan yang perlu diutamaka, maka dia akan merasakan kebahagiaan yang lebih besar dan suasana kerohanian yang lebih kuat, setiap kali dia dapat mengalihkan dana ibadah haji itu untuk memelihara anak-anak yatim, memberi makan mereka yang kelaparan, memberi tempat perlindungan orang-orang yang terlantar, mengubati mereka yang sakit, mendidik orang-orang yang lemah bidang pelajarannya, atau memberi peluang pekerjaan kepada para penganggur (Fiqh Keutamaan, 19)
Renungkanlah wahai tuan-tuan yang sering berumrah dan menunaikan haji yang berulangkali.

Friday, August 22, 2014

Kriteria Ibadah

Apakah dia ibadah. Apakah pengertian ibadah yang sebenarnya.

Persoalan ini ditimbulkan kerana perkataan ibadah dalam Islam telah disalaherti oleh kebanyakan orang termasuk orang-orang Islam sendiri – beribadah selalunya diertikan sebagai amalan ketuhanan (ritual) iaitu mendirikan sembahyang, puasa, bersedekah dan sebagainya. Ibadah-ibadah ini adalah ibadah khusus, yang menjadi sebahagian kecil daripada konsep ibadah yang lebih luas lagi.
 Konsep ibadah yang sebenarnya adalah tergambar oleh ayat yang ertinya ‘Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdi kepada-Ku’ (ad-Zariyat: 56) - ayat ini menyebut mengabdi. Caranya mengabdi itulah yang disebut sebagai beribadah
Satu ayat lain ialah ‘Katakanlah: sesungguhnya sembahyangku, ibadahku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan semesta alam’ (al-Anam 6: 162) - kita lihat ayat ini menyebut dengan jelas hidupku dan matiku hanya untuk Allah, yang menggambarkan bahawa kita harus mengabdikan diri kepada Allah swt sepanjang masa bila disebut hidupku dan matiku hanya untuk Allah Tuhan semesta alam. Dengan kata lain selagi manusia hidup sehingga mati harus dalam keadaan beribadah. Secara tidak langsung ayat itu juga membawa maksud bahawa sekujur badan dengan segala anggota dan akal kita harus digunakan untuk mengabdikan diri kepada-Nya; jadi tidak ada mana-mana bahagian anggota badan yang boleh kita gunakan untuk yang lain selain daripada Allah: akal kita, mulut kita dan segala anggota badan iaitu tangan, kaki dan pancaindera kita kesemuanya harus digunakan untuk mengabdikan diri. Ini menunjukkan bahawa segala niat atau hajat hati, percakapan dan perbuatan kita mestilah hanya untuk beribadah sahaja. Jadi, sama ada kita sedang bercita-cita, berhajat untuk melakukan sesuatu, bekerja, makan minum, bermain, duduk, baring, berehat, tidur dan sebagainya harus dalam bentuk beribadah. Bagaimanakah caranya hendak menjadikan aktiviti-aktiviti tersebut dan lain-lain sebagai ibadah.
Pertama, jika kita lihat maksud kedua-dua ayat di atas tadi ialah bahawa kesemua agenda itu tadi kita niatkan kerana Allah menghendaki manusia mengabdi diri kepadanya. Kelihatannya inilah antara prasyarat untuk menjadikannya ibadah iaitu kerana Allah. Apakah yang dimaksudkan dengan frasa kata kerana Allah itu! Inilah antara yang sangat penting yang hendak dibincangkan dalam bab ini. Kebanyakan kita menggunakan frasa kata ini dengan cara yang sembrono, tanpa mengetahui maksudnya yang tepat.
Antara lain lagi ialah agendanya, adakah semua perkara boleh dijadikan ibadah: bekerja, duduk di rumah, makan minum, berpakaian, berehat, tidur, bersiar-siar, mengembara dan sebagainya; sebagai isteri mengemas rumah, menjaga anak, memasak, membasuh; dan adakah merokok itu boleh dijadikan ibadah, atau yang seumpamanya seperti mencuri, membuat orang tidak senang dengan kita, berkasar bahasa, bergurau dan lain-lain. Agenda-agenda seperti contoh-contoh ini juga harus dipertimbangkan jika hendak dijadikan ibadah.
Serupa juga halnya, jika sesuatu aktiviti itu tujuannya baik tetapi dilakukan dengan cara yang tidak berakhlak, maka tidak akan menjadi ibadah kerana Islam tidak menghalalkan cara. Misalnya untuk mengumpul dana bagi tujuan membantu golongan miskin tetapi dengan cara yang tidak berakhlak seperti menganjur pesta yang banyak mengandungi kemaksiatan, perjudian dan sebagainya.
Jadi, dapat dilihat di sini ada beberapa perkara yang harus dipenuhi untuk menjadikan sesuatu aktivit itu ibadah. Untuk menjadikan ibadah tidak boleh dilihat dari satu sudut sahaja misalnya bentuk aktiviti itu sahaja – perniagaan misalnya walaupun pada zahirnya suatu pekerjaan yang mulia tetapi tidak boleh dikira sebagai ibadah jika tujuannya bukan kerana Allah.

Lima kriteria menjadikan ibadah
 Perbincangan di atas ini memberikan gambaran bahawa ada kreteria-kriteria tertentu yang harus dipenuhi bagi menjadikan sesuatu aktiviti itu ibadah. Ada lima kriteria seperti yang berikut ini:
1.      Kriteria 1: Niat kita mestilah kerana Allah semata-mata,
2.      Kriteria 2: Agenda yang halal dari pandangan syarak,
3.      Kriteria 3: Kaedah pelaksanaannya atas landasan syariat,
4.      Kriteria 4: Natijahnya mesti betul, dan
5.   Kriteria 5: Tidak meninggalkan yang fardu ain.

Sunday, February 2, 2014

5 syarat jadi ibadah

Ibadah bukanlah hanya sembahyang, zakat, puasa dan haji, dan segala rangkaiannya, tetapi jauh lebih daripada itu. Ibadah yang empat itu adalah dipanggil ibadah khusus. Ibadah yang hendak dimuatkan dalam blog ini adalah selain daripada itu iaitu yang dinamakan ibadah umum.
Sebenarnya apa sahaja yang kita lakukan asalkan bukan yang dilarang Allah swt adalah ibadah belaka - duduk-baring, makan-minum, mandi, berpakaian, sembang, menonton tv, bersukan, melancong, dan sebagainya adalah ibadah jika memenuhi 5 syarat berikut:

  1. Niat kerana Allah,
  2. Produknya bukan yang dilarang,
  3. Pelaksanaannya betul,
  4. Natijahnya baik,
  5. Tidak meninggalkan ibadah khusus.
Apakah yang dimaksudkan oleh kelima-lima syarat di atas ini, akan dijelaskan kemudian.
Entri hari ini adalah langkah permulaan untuk mengenal apakah dia ibadah, namun kalian tentu dapat menjangkakan maksud setiap satunya, tidak salah untuk kalian memikir-mikirkannya kerana Allah swt telah membekalkan kita akal untuk berfikir.
Wallahu-a'lam.