Tuesday, October 28, 2014

Amalan yang berpanjangan

Bisamillahhirrahmaanirrahim.
Assalamualaikum semua.
Diandaikan kita mati pada saat ini adakah kematian kita khusnul khatimah? Persoalan ini saya turunkan di sini kerana kematian yang khusnul khatimah adalah penting bagi sesetengah orang.
Bagi saya kematian dalam khusnul khatimah hanya dapat kita perolehi sekiranya kita sudah menyediakan sesuatu amalan yang berpanjangan. Menanam pokok buah dengan niat untuk makanan burung atau juga manusia, bukan untuk faedah sendiri, adalah antara amalan yang saya namakan sebagai amalan yang berpanjangan kerana selagi pokok buah itu masih hidup dan menghasilkan buah, dimakan oleh burung atau manusia itu tadi bererti kita mendapat ganjarannya.
Kita sering mendengar tentang seseorang mewakafkan tanah untuk pembinaan masjid, tanah perkuburan, sekolah agama dan sebagainya. Ini adalah antara usaha-usaha ke arah mencapai khusnul khatimah. Bagaimanapun tidak bererti hanya orang yang berharta sahaja yang berpeluang mendapatnya. Bagi golongan miskin juga ada jalan ke arah yang sama. Misalnya kita boleh sahaja memasukkan beberapa ekor ikan ke dalam kolam tinggal agar membiak dan diambil faedah oleh orang lain atau makhluk. Ini satu contoh.
Satu contoh lagi, jika kita berniat untuk membersihkan laman surau atau masjid setiap hari khamis petang, dan melakukannya, ini juga satu bentuk amalan yang berpanjangan kerana selepas satu khamis akan timbul lagi hari khamis yang mendatang. Jadi jarak waktu di antara keduanya itu niat kita tetap hadir, Allah swt Maha Mengetahuinya.
Bagi orang kaya peluangnya lebih luas. Saya cadangkan supaya kita mencari jalan membangunkan para peniaga kecil di tepi-tepi jalan, yang terangkak-rangkak mencari rezeki itu; atau membantu pengutip tin sebagai sumber rezeki hariannya itu supaya membangun.
Kata Dr. Yusuf al-Qaradawi, Kalau kaum Muslimin mahu memahami serta memiliki kefahaman yang sebenar, dan mengetahui makna kefahaman terhadap pekerjaan yang perlu diutamaka, maka dia akan merasakan kebahagiaan yang lebih besar dan suasana kerohanian yang lebih kuat, setiap kali dia dapat mengalihkan dana ibadah haji itu untuk memelihara anak-anak yatim, memberi makan mereka yang kelaparan, memberi tempat perlindungan orang-orang yang terlantar, mengubati mereka yang sakit, mendidik orang-orang yang lemah bidang pelajarannya, atau memberi peluang pekerjaan kepada para penganggur (Fiqh Keutamaan, 19)
Renungkanlah wahai tuan-tuan yang sering berumrah dan menunaikan haji yang berulangkali.

No comments:

Post a Comment