Friday, August 22, 2014

Kriteria Ibadah

Apakah dia ibadah. Apakah pengertian ibadah yang sebenarnya.

Persoalan ini ditimbulkan kerana perkataan ibadah dalam Islam telah disalaherti oleh kebanyakan orang termasuk orang-orang Islam sendiri – beribadah selalunya diertikan sebagai amalan ketuhanan (ritual) iaitu mendirikan sembahyang, puasa, bersedekah dan sebagainya. Ibadah-ibadah ini adalah ibadah khusus, yang menjadi sebahagian kecil daripada konsep ibadah yang lebih luas lagi.
 Konsep ibadah yang sebenarnya adalah tergambar oleh ayat yang ertinya ‘Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdi kepada-Ku’ (ad-Zariyat: 56) - ayat ini menyebut mengabdi. Caranya mengabdi itulah yang disebut sebagai beribadah
Satu ayat lain ialah ‘Katakanlah: sesungguhnya sembahyangku, ibadahku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan semesta alam’ (al-Anam 6: 162) - kita lihat ayat ini menyebut dengan jelas hidupku dan matiku hanya untuk Allah, yang menggambarkan bahawa kita harus mengabdikan diri kepada Allah swt sepanjang masa bila disebut hidupku dan matiku hanya untuk Allah Tuhan semesta alam. Dengan kata lain selagi manusia hidup sehingga mati harus dalam keadaan beribadah. Secara tidak langsung ayat itu juga membawa maksud bahawa sekujur badan dengan segala anggota dan akal kita harus digunakan untuk mengabdikan diri kepada-Nya; jadi tidak ada mana-mana bahagian anggota badan yang boleh kita gunakan untuk yang lain selain daripada Allah: akal kita, mulut kita dan segala anggota badan iaitu tangan, kaki dan pancaindera kita kesemuanya harus digunakan untuk mengabdikan diri. Ini menunjukkan bahawa segala niat atau hajat hati, percakapan dan perbuatan kita mestilah hanya untuk beribadah sahaja. Jadi, sama ada kita sedang bercita-cita, berhajat untuk melakukan sesuatu, bekerja, makan minum, bermain, duduk, baring, berehat, tidur dan sebagainya harus dalam bentuk beribadah. Bagaimanakah caranya hendak menjadikan aktiviti-aktiviti tersebut dan lain-lain sebagai ibadah.
Pertama, jika kita lihat maksud kedua-dua ayat di atas tadi ialah bahawa kesemua agenda itu tadi kita niatkan kerana Allah menghendaki manusia mengabdi diri kepadanya. Kelihatannya inilah antara prasyarat untuk menjadikannya ibadah iaitu kerana Allah. Apakah yang dimaksudkan dengan frasa kata kerana Allah itu! Inilah antara yang sangat penting yang hendak dibincangkan dalam bab ini. Kebanyakan kita menggunakan frasa kata ini dengan cara yang sembrono, tanpa mengetahui maksudnya yang tepat.
Antara lain lagi ialah agendanya, adakah semua perkara boleh dijadikan ibadah: bekerja, duduk di rumah, makan minum, berpakaian, berehat, tidur, bersiar-siar, mengembara dan sebagainya; sebagai isteri mengemas rumah, menjaga anak, memasak, membasuh; dan adakah merokok itu boleh dijadikan ibadah, atau yang seumpamanya seperti mencuri, membuat orang tidak senang dengan kita, berkasar bahasa, bergurau dan lain-lain. Agenda-agenda seperti contoh-contoh ini juga harus dipertimbangkan jika hendak dijadikan ibadah.
Serupa juga halnya, jika sesuatu aktiviti itu tujuannya baik tetapi dilakukan dengan cara yang tidak berakhlak, maka tidak akan menjadi ibadah kerana Islam tidak menghalalkan cara. Misalnya untuk mengumpul dana bagi tujuan membantu golongan miskin tetapi dengan cara yang tidak berakhlak seperti menganjur pesta yang banyak mengandungi kemaksiatan, perjudian dan sebagainya.
Jadi, dapat dilihat di sini ada beberapa perkara yang harus dipenuhi untuk menjadikan sesuatu aktivit itu ibadah. Untuk menjadikan ibadah tidak boleh dilihat dari satu sudut sahaja misalnya bentuk aktiviti itu sahaja – perniagaan misalnya walaupun pada zahirnya suatu pekerjaan yang mulia tetapi tidak boleh dikira sebagai ibadah jika tujuannya bukan kerana Allah.

Lima kriteria menjadikan ibadah
 Perbincangan di atas ini memberikan gambaran bahawa ada kreteria-kriteria tertentu yang harus dipenuhi bagi menjadikan sesuatu aktiviti itu ibadah. Ada lima kriteria seperti yang berikut ini:
1.      Kriteria 1: Niat kita mestilah kerana Allah semata-mata,
2.      Kriteria 2: Agenda yang halal dari pandangan syarak,
3.      Kriteria 3: Kaedah pelaksanaannya atas landasan syariat,
4.      Kriteria 4: Natijahnya mesti betul, dan
5.   Kriteria 5: Tidak meninggalkan yang fardu ain.

No comments:

Post a Comment